mouse

Pink Hair Girl, Cute

KATA HUBUNG


Kata hubung ialah sejumlah perkataan yang bertugas menghubungkan dua binaan ayat atau lebih sehingga menjadi satu bentuk yang berlapis, yang dikenali sebagai ayat majmuk.

Kata hubung  terbahagi kepada dua jenis iaitu :



1.0    Kata hubung gabungan ialah jenis kata yang menghubungkan dua klausa atau lebih yang sama tara sifatnya.

contoh kata hubung gabungan :

dan                   lalu
atau                  malahan
tetapi                sambil
serta                 kemudian


Penggunaannya dalam ayat adalah seperti berikut :

1.  Aminah mengemas rumah sambil mendengar lagu.

2.  Abu dan Ahmad  bermain bola sepak di padang sekolah.

3.  Ali lulus ujian itu tetapi adiknya gagal.

4.  Mereka mungkin pergi ke Johor atau Melaka.

5.  Adik masuk ke dapur lalu mengambil pinggan.


2.0    Kata hubung pancangan ialah jenis kata hubung yang menyambung klausa tak setara atau klausa pancangan pada klausa utama atau klausa induk.

Kata hubung pancangan terbahagi kepada 3 jenis iaitu:



2.1    Kata hubung pancangan relatif ialah perkataan yang berfungsi menghubungkan klausa utama dengan klausa kecil yang lain. Bentuk kata hubung jenis ini ialah  yang.

contoh ayat :

1.  Buku yang dibaca oleh Siti itu kepunyaan saya.

2.  Puan halimah seorang guru yang berdedikasi dan baik hati.

3.  Saya membeli kereta yang berwarna hitam.

4.  Tan Sri P. Ramlee seorang seniman yang akan sentiasa dikenang.



2.2    Kata hubung pancangan komplemen berfungsi menghubungkan klausa yang menjadi komplemen atau pelengkap pada klausa utama. Dua contoh kata komplemen sering digunakan ialah bahawa dan untuk.

Contoh ayat :

1.  Guru itu menyatakan bahawa muridnya sangat rajin.

2.  Mereka mengetahui bahawa Haji Daud seorang saudagar besar.

3.  Amirah hadir ke sekolah untuk menuntut ilmu.

4.  Untuk banduan itu melepaskan diri sangat mustahil.


2.3    Kata hubung pancangan keterangan berfungsi menghubungkan klausa yang menjadi keterangan pada klausa utama. Contoh kata keterangan :

kerana                         agar
sekiranya                    semoga
kalau                           semasa
hingga                         untuk
sementara                   apabila
ketika                          setelah

Contoh penggunaan ayat :

1.  Murid itu sering dipuji oleh gurunya kerana rajin belajar.

2.  Pencuri  memasuki rumah itu ketika penghuninya sedang nyenyak tidur.

3.  Pertahanan negara perlu diperkuat agar keamanan negara sentiasa terjamin.

4.  Penonton bersurai setelah permainan selesai.

5.  Amin terjun ke dalam sungai untuk selamatkan adiknya.

6.  Kalau itu takdirnya, saya terima dengan hati yang rela.



Untuk lebih memahami mengenai kata hubung, boleh rujuk laman web di bawah












RUJUKAN

Hamisah Md Johor. (2012). Kata Hubung . Dicapai pada 20 Ogos 2019 

Nik Safiah Karim, Farid M. Onn, Hashim Haji Musa & Abdul Hamid Mahmood. (2015). 
        Tatabahasa Dewan edisi ketiga. Kuala Kuala: Dewan Bahasa dan Pustaka.


Nor Azila Zainal Abidin. (2012).Kata Hubung Pancangan Ketepatan. Dicapai pada 31 Ogos 2019                       






No comments:

Post a Comment